Thursday, January 31, 2013

Aku Suka Mimpi Ikan

Antara perkara paling mahal dalam hidup ini ialah mimpi indah. Kita tak bisa membeli mimpi indah. Ianya hadiah ketika tidur. Lain orang lain perkara yang indah itu. Ada orang mimpi akan menjadi indah jika dapat bertemu orang yg dikasihi di dalam mimpi.   ada yang sampai basah ... hehehe

Ada orang merasa indah jika dapat pergi ke tempat2 menarik di dalam mimpi mereka. Dapat ke luar negera, dapat mendaki puncak tertinggi atau dapat mendarat ke bulan.

Ada pula orang merasa seronok jika dapat menaiki kenderaan yang diidam2kan di dalam mimpinya. Masa nilah nak rasa naik Bentley atau Ferrari. Kalau pernah mimpi macam itu orang lain dah tak boleh cakap, "Jangan mimpilah kau nak naik Bentley."

Bagi aku mimpi yang indah bila aku mimpi ikan. Lagi besar ikan itu lagi bagus.  Sebenarnya mimpi itu sendiri taklah indah mana tapi ....

...

..

.


Tapi biasanya selepas aku bangun aku akan mendapat rezeki bila mimpi ikan.

Malam semalam aku mimpi ikan. Dah lama tak mimpi ikan. Malam tadi mimpi aku dapat memancing ikan puyu. Tapi cuma seekor saja yang makan umpan dipancing aku.

Pagi tadi bila aku bangun dalam hati kecil aku berharap ada rezeki yang datang hari ini sebab dah mimpi ikan. Hari ini kami mengharap sepucuk surat tawaran dari pelanggan. Kalau dapat tawaran tu boleh tahanlah pendapatannya.

Tapi pukul 11 pagi tadi harapan itu tak kesampaian kerana surat itu belum dikeluarkan. Mungkin kena tunggu sehingga minggu depan. (ini ikan yg terlepas dari pancing kot .... huhu).

Sebelum aku makan tengahari tadi staf dari ofis kami di Kelana Jaya menghantar emel kpd aku memberitahu pihak pelanggan kami menelefonnya cakap cek untuk tuntutan bagi bayaran pertama projek kami di Penang telah sedia untuk diambil.

Petang tadi aku pun pergi mengambil cek itu. Taklah banyak sangat tapi lepaslah untuk membayar gaji bagi bulan Februari ini.
kalau mimpi ikan paus harus cukup untuk bayar gaji dan bonus untuk sepanjang 2013


Jom tidur .... malam Jumaat ini biasanya banyak mimpi-mimpi indah .... hehehe

Majik Orang Ganu


Sebuah keluarga bercadang bercuti ke Pantai Timur esok kerana WP cuti. Maknanya dapat 3 hari cuti hujung minggu ini. Tapi mereka cuma ada sebuah kereta Kancil sedangkan semua ahli keluarga seramai 7 org nak ikut.

"Jangan risau. Kita bersempit2 dari KL sampai ke Kemamang aje. Nanti di sana ayah ajak kawan ayah ikut kita ke KT," saran di ayah dgn konfiden giler.

"Biar betik ayah ni. 7 orang pun dah sempit macam sardin inikan pulak ayah nak tumpangkan kawan ayah tu?" bantah anak2nya.

"Itulah korang tak tahu. Kita 7 org dari sini bila tambah dia sorang lagi, nanti jadi lapang." balas ayah.





Nota kaki: Kalau korang tak percaya, cubalah tanya orang Ganu .... hehehe

Wednesday, January 30, 2013

Andainya Duit Masuk Macam Bertih Jagung

Petang Sabtu baru2 ini aku ke pasar malam. Sementara menunggu emak Adam membeli satay, aku ke gerai bertih jagung (pop corn) untuk membeli beberapa bungkus. Ramai pula orang sedang berbaris menunggu giliran utk membeli bertih jagung tu.

Sambil menanti giliran, aku melihat macamana bertih tu dibuat. Begini caranya:

Masukkan satu cawan gula pasir.
Masukkan satu cawan biji jagung.
Masukkan satu sudu majerin.
Masukkan satu cawan minyak masak.

Tutup periuk khas tersebut dan tunggu jagung2 itu pecah menjadi bernih kerana haba dan tekanan di dalam periuk khas tersebut.

Dalam masa 3-4 minit jagung2 itu telah mula meletup2. Biarkan sehingga semua jagung itu bertukar menjadi bertih sebelum periuk itu dituang isinya. Bertih jagung itu sudah boleh dimasukkan ke dalam beg plastik untuk dijual kpd pelanggan yg menunggu.

Aku terfikir kalaulah usaha-usaha yang aku dan kawan2 lakukan selama ini mendatangkan hasil demi hasil seperti bertih itu. Pop, pop, pop!

Aku kaya, aku kaya!

Semoga impian menjadi nyata.


Wordless Wednesday: Janji Dicapati


Janji sedap, janji kenyang ....

Tuesday, January 29, 2013

Kesian Orang Sekarang Yang Nak Beli Rumah

Aku sekeluarga ke rumah adik ipar aku (adik kepada emak Adam) di Puchong petang semalam.  Adik ipar aku dan isterinya baru saja pindah ke rumah baru mereka setelah lebih 4 tahun mereka menyewa rumah. Mereka bernikah pada 08/08/08 dan sejak itu tinggal di rumah sewa dekat Jalan Klang Lama.

Rumah baru mereka ni bukanlah rumah baru siap.  Adik ipar aku kata rumah tu dah siap sejak 7 - 8 tahun lalu. Sebelum ini rumah itu disewakan oleh tuanpunya. Lebih kurang 2 tahun lepas adik ipar aku menandatangani perjanjian jual beli rumah tu. Ding dong ding dong dua tahun kemudian baru settle hal pinjaman dan sebagainya sebelum mereka boleh masuk.

Rumah mereka tu apartment 10 tingkat. Ada 3 bilik tidur. Master bedroom taklah besar sangat. Masuk katil king dan nak penuh. Tak boleh nak letak almari pakaian. Bilik yg dua lagi tu lagilah lebih kecil. Ruang tamu yg bersambung dgn tempat makan boleh tahan agak lapang utk sebuah apartment. Dapurnya comel. Kalau emak Adam yg duduk situ aku rasa mati kutu sebab dia suka masak dgn dapur yg luas. 

Nak tahu berapa harga apaartment ini? RM142,000. 
Itu harga dua tahun lepas. Sekarang ni dah naik jadi RM180K.


Adik ipar aku ambil pinjaman utk tempoh 30 tahun. Sebulan kena bayar RM800. Maknanya sampai lepas dia dah berhenti kerja tak habis bayar hutang.

Bayangkanlah kalau mereka yg berpendapatan kurang daripada RM2,000 jangan mimpilah nak beli rumah kecuali bernasib baik dapat rumah PPRT.... huhuhu.

Itu baru apartment. Kalau landed property tentulah lebih mahal lagi terutama sekitar Lembah Klang ini.

Masa aku beli rumah aku dulu baru RM135,000. Teres 2 tingkat dgn 4 bilik. Sekarang rumah di kawasan aku ni dah berlipat ganda harganya. Baru2 ini ada rumah di sini dijual dgn harga RM560,000.
Atas kertas, pemilik2 rumah di taman perumahan aku ni dah setengah jutawanlah .... hehehe

Monday, January 28, 2013

Jubah Untuk Nenek

Hari Sabtu baru ni aku, emak Adam dan Adam balik kampung utk mengambil nenek Adam dan membawa beliau ke majlis kahwin keluarga abang ipar menantu beliau di Klang (abang ipar biras aku). Kali ini dia buat di dewan di Teluk Gadong. Kali pertama dia buat kerja kahwin dia buat di rumah. Masak masa tu pun secara gotong royong. Mungkin penat lebih buat cara tu. Buat di dewan gunakan khidmat katering lebih mudah. Cuma sediakan sajalah bajetnya .... huhuhu.




Kami singgah di masjid Nurul Iman selepas ke majlis kahwin tersebut kerana takut tak sempat sampai rumah sebelum waktu Asar. Aku dan emak Adam solat jamak qasar kerana jarak perjalanan sudah melebihi 2 marhalah. MIL aku solat biasa. Orang tua tak biasa nak jamak atau qasar solat.

Malam Ahad tu kami membawa nenek Adam ke rumah baru anaknya di Kinrara. Adik emak Adam tu baru pindah ke situ pada siang Sabtu tu.

Semalam kami membawa nenek Adam ke Carrefour atau sekarang dikenali dgn Aeon Big. Sukalah orang tua dibawa berjalan-jalan. 


Nenek Adam di escalator. Dulu dia tak berani nak naik benda ini. Adam siap berlari turun naik kat escalator tu

Emak Adam dan Atikah membawa beliau ke First Lady. Dengar cerita kebanyakan pakaian di situ diimport dari Vietnam. Tapi kalau nak tunggu kami sampai ke Vietnam entah bila. Jadi belilah juga di First Lady tu.

Atikah telah membelikan sepasang jubah untuk neneknya hasil daripada wang dia berniaga di internet. Semoga bertambah maju bisnes Atikah.

Sunday, January 27, 2013

Sediakan Pemadam Api Sebelum Terbakar

Orang kata sediakan payung sebelum hujan. Itu kalau nak keluar rumah. Tapi di dalam rumah pula eloklah sediakan pemadam api sebelum terbakar.

Malam tadi satu kebakaran kecil berlaku di rumah jiran aku. Semasa kejadian kami di rumah adik emak Adam yg baru pindah rumah. Jiran sebelah rumah aku yang telefon aku bertanya samada kami ada di rumah. Aku kata 4 org anak aku ada di rumah sebab mereka dah balik lebih awal. Kami baru nak bergerak balik selepas Cerekarama malam tadi.


Pendingin hawa ini yg terbakar


Api mula menyambar langsir


Pasukan Bomba yang datang dgn dua buah jentera berhenti depan rumah aku



Pegawai bomba menerangkan sesuatu kepada jiran aku (kebakaran bukan di rumah dia - dia yang ada pemadam api tu). Juga kelihatan ialah pengawal keselamatan yang menjaga kawasan perumahan kami


Diantara jiran2 yang berada di tempat kejadian. Jiran prihatin ... ngeeee


Nak update status kat fb ke Kak? ..... hehehe 


Inilah alat pemadam api yg telah dapat memadamkan api sebelum api merebak dan sebelum bomba datang. YB bekejar ke tempat kejadian memandangkan PRU13 tak lama lagi dan sempat bergambar utk akhbar manalah tu? Tamil Nesan ke? huhuhu


Moral of the story: Sediakan pemadam api di rumah utk keselamatan

Saturday, January 26, 2013

Nak Bercuti Kemana Kita?

Pagi tadi emak Adam meminta aku belikan lontong, nasi ambeng dan kuih lopes di warung makcik aku di Keramat. Seperti biasa aku akan telefon dulu utk membuat pesanan. Dalam setengah jam kemudian aku tinggal pergi ambil saja. Tak perlu nak tunggu lama2.

Tetapi pagi tadi semasa aku call, sepupu aku yang menjawab panggilan tu. Aku dengan selambanya terus memberikan order.

"Maaf bang Unus. Harini kami tak berniaga. Emak pergi makan angin ke Penang dengan kakak dan cucu2nya," terang sepupu aku.

Kecewalah hasrat nak makan lontong Jawa dan lopes pagi ni.

Sekarang ini pantang ada cuti hujung minggu panjang sikit ramai orang kita mengambil peluang pergi melancong. Minggu ini memang ada cuti 3 hari bagi kebanyakan negeri kerana Thaipusam. Kalau campur cuti Maulidurasul dapat lima hari.

Minggu depan pun cuti 3 hari juga bagi yang kerja di Wilayah sebab 1hb adalah hari Wilayah.

Tak lama lepas tu cuti Tahun Baru Cina pula.

Emak Adam dah hint nak ajak bercuti. Tapi dilema dia setiap hujung minggu ada saja jemputan kenduri kahwin. Hari ini ada dua. Satu di kampung dan satu lagi di Klang. Kejap lagi kami nak balik kampung. Itu sebabnya emak Adam minta aku beli lontong tadi - tak payah buang masa buat sarapan.

Minggu depan pun ada dua jemputan. 2hb di Bangi dan 3hb di Putrajaya.

Macamana nak pergi makan angin ni?

Susah2 kirim aje duit kpd orang yg buat kerja kahwin tu. Pergi booking online and off we go!

Tapi soalannya: nak bercuti ke mana yang best?


Thursday, January 24, 2013

Hanger Klip Tudung Awning for Sale

Fenomena tudung di Malaysia ini sungguh luar biasa.

Sekarang ini orang sanggup berbaris dan berkhemah dari malam untuk membeli tudung Fareeda. Dan bila Ariana membuat jualan, kaum wanita akan berpusu2 ke situ. Ada yg terpaksa ambil cuti.

Bila dah beli tudung mahal2, tak kelaslah kalau takde hanger yang sesuai.

Emak Adam dah beberapa bulan sibuk nak mencari hanger klip tudung awning ni. Hari ini kami dah jumpa tempatnya. Dah alang2 beli, kami borong banyak sikit supaya bolehlah dijual kepada sesiapa yang berminat. 

Berikut adalah gambar2 hanger klip tudung awning untuk tatapan kalian.



Satu set ada 10 pieces. Setiap satu set berharga RM15 (tak termasuk bayaran pos)

Close up photo


11 inci panjang setiap satu

1 set ada 10 pcs berharga RM15 *(exclude postage)



Cara menggantung kalau tak nak awning yg mahal tu rosak


Kalau nak beli besi penggantung 16 lubang ini pun boleh. Cuma RM15 setiap satu

Kepada sesiapa yang berminat bolehlah sms atau whatsapp 012-6830486 (Atikah) atau PM fb SweetLittleCotton

Wednesday, January 23, 2013

Wordy Wednesday: Mampukah Saya Melupakan Awak?

Petang ini aku sepatutnya ada meeting dgn client di Damansara. Tapi disebabkan meeting aku dgn seorang lagi client di Bukit Bintang habis agak lewat, aku terpaksa menjadualkan semula meeting yg di Damansara tu kpd pagi Jumaat.

Bila aku balik rumah tadi aku dan emak Adam sempat melayan cerita Sahara di tv. Kisah percintaan di sekolah tahfiz. Apa korang ingat budak kat sekolah tahfiz tu tak tahu bercinta? .... hehehe

Yang menarik perhatian aku bila hero hampir putus asa utk mendapatkan cinta heroin yang juga anak kepada gurubesar sekolah tahfiz itu kerana ada tiga orang lelaki yg lebih tinggi ilmu agama mereka yg juga berkenan untuk melamar heroin tersebut.

"Awak lupakan saja saya dan anggaplah kita tak pernah bertemu," kata heroin kepada sang hero.

Klise betul dialog tu aku dengar. Ingat senang ke nak melupakan seseorang yg pernah anda sayangi.

Korang pernah cuba?

Tuesday, January 22, 2013

Selamatkah Tempat Tinggal Anda?

Isu keselamatan sering menghantui kita tak kira samada yg tinggal di bandar atau di luar bandar. Di sesetengah tempat kes kecurian, rompak dan ragut berlaku tak kira masa. 

Taman perumahan aku juga tak terkecuali w/pun ianya didiami sebahagiannya oleh pegawai polis dan pegawai tentera. Bagi pencuri, mereka peduli apa. Bahkan salah seorang bekas pegawai polis yg tinggal di sini pernah kehilangan kereta Hondanya yg diletakkan di luar pagar rumah.

Arwah emak aku juga pernah menjadi mangsa ragut - bukan sekali tapi dua kali ketika dia membersihkan kawasan di tepi rumah.

Oleh kerana kejadian jenayah yg kerap berlaku di sini Persatuan Penduduk di perumahan kami telah mengadakan khidmat pengawal swasta. Seperti di tempat2 lain, bukan semua penduduk setuju utk menyertai skim ini. Bayarannya cuma RM30 sebulan. Nak mengutip bayaran itu yg agak mencabar. Tugas tersebut telah diamanahkan kepada ketua blok. Aku kebetulan salah seorang daripada ketua blok itu .... huhuhu.

Setelah kami ada khidmat pengawal swasta ini, kejadian kecurian masih juga berlaku.

Ada beberapa buah rumah telah dipecah masuk terutama apabila tuan rumah tiada di rumah. Selain daripada itu ada juga kes kecurian kereta dan lori!

Pada 20 Nov 2012 sebuah lori milik penduduk di sini yg diletakkan di taman permaianan telah dilaporkan hilang manakala pada 22 Dis tahun lepas sebuah kereta Toyota Vios yg diletakkan di depan rumah telah dilarikan pencuri.

Ada pengawal pun kalau nak hilang tu hilang juga.

Kalau tak silap aku negara kita antara 20 negara paling selamat di dunia. Agaknya macamanalah negara lain yg dikatakan kurang selamat daripada Malaysia tercinta ini?

Monday, January 21, 2013

Warna Kot Macam Warna Baju Bangla

Hari ni dalam sejarah bagi anak kami, Haikal.

Pagi tadi aku ke sekolah dia untuk mengambil wang bantuan persekolahan RM100 tu. Nasib baik tak berapa ramai ibubapa berbaris di depan aku masa aku sampai. Tapi di kelas2 lain, ibubapa yang menanti giliran melebihi 10 orang sehingga tak cukup kerusi untuk menunggu.

Itu bukan sejarah yang nak aku ceritakan. Takde apa yg menarik tentang itu.... huhu

Apa yg akan menjadi kenangan bagi Haikal hari ini ialah perlantikannya secara rasmi sebagai Penolong Ketua Pengawas bagi sekolahnya.



Satu untuk album

Aku tanya dia kenapa tak jadi Ketua Pengawas? Orang jarang mengingat siapa penolong atau orang kedua tetapi mereka akan ingat siapa ketua atau orang No 1. Haikal kata dah terpilih jadi Penolong Ketua Pengawas tu pun dah satu pencapaian.

Sebenarnya abang-abang Haikal semuanya pernah menjadi Penolong Ketua Pengawas semasa di sekolah menengah. Haikal setakat menjadi Penolong Ketua Pengawas sekolah rendah. ayat mematikan semangat

Bila balik ke rumah emaknya pula komen kenapa warna baju kot dia macam warna baju mat Bangla.

"Mana ada?" kata Haikal tak puas hati cuba mempertahankan warna baju kot barunya itu.

"Yalah. Kan ramai Bangla kerja kilang pakai baju warna ni," balas emaknya.

Sekali lagi tercabar si Haikal tu.

Itu belum lagi komen daripada abang2 dan kakak2nya serta daripada Adam.

Kalau Tak Kaya Raya Jangan Nak Cuba-Cuba Buat Macam Ini

Semalam aku pergi ke majlis kenduri sedara aku. Orang kaya ada gelaran Dato'. Terkenal di kampungnya dan juga di daerah tempat dia tinggal.

Dia mengadakan majlis perkahwinan anak lelakinya.

Mengikut sedara aku tu, kad jemputan yg diedarkan sebanyak 7,000 keping. Selain itu ramai yg dijemput secara lisan tanpa menggunakan kad jemputan. Tetamu yg dianggarkan hadir ialah sebanyak 12,000 orang.

Melihat daripada jemputan yg hadir semalam, aku rasa memang ada 12,000 orang yg datang. Nak cari tempat duduk pun susah.

Hidangan disediakan oleh katerer. Kalau satu kepala dicas RM10, untuk 12,000 orang dah RM120,000.  Sebenarnya kalau dapat RM10 tu kira murah sebab lauknya pelbagai macam. Selain itu ada juga bakso, cendol, apam balik dan teh tarik serta kopi O. Itu yg aku nampak. Sebelah belakang ada lagi makanan yg aku tak pergi tengok atau ambil.


Antara menu yang disediakan ialah ayam masak merah, daging black pepper, isi ikan, butter prawn, salad sayur dan ikan masin serta tempe


Di antara tetamu yg hadir. Tak pakai khemah biasa tapi guna marque tent.  Kawasan khemah saja lebih daripada satu ekar luasnya. Ada juga VIP yg hadir. Tak payahlah aku sebut siapa .... ngeeee


Para hadirin dihiburkan oleh artis2 terkenal di antaranya Jay Jay yang menyanyikan 3 1/2 lagu termasuk Rindu Bayangan yang diminta khas oleh tuanrumah

Setiap artis ni takkan nak bayar RM200 - RM300 aje. Tak kurang daripada 6-7 artis terkenal yang aku lihat di sana semalam.

Aku congak2 sekurang2nya habis dalam RM300,000 untuk majlis ini.

Aku hanya mampu mendoakan semoga pasangan pengantin kekal bahagia sehingga ke syurga.

Saturday, January 19, 2013

Alahai Alai, Melaka

Aku, emak Adam, Haikal dan Adam pergi ke majlis perkahwinan rakan aku di Semabok, Melaka. Perjalanan dari rumah aku ke sana hampir dua jam w/pun dari Plaza Tol Sg Besi ke Plaza Tol Ayer Keroh tak sampai sejam.

Kami sampai di sana dah dekat pukul 3 ptg kerana kami bertolak lewat dari KL di atas sebab2 yg tak dapat dielakkan. Kebetulan selepas berjumpa dgn tuan rumah aku ternampak kawan aku yg dulu kerja di sykt kulit kerang baru nak menjamu selera. Dia datang bersama isteri dan ibunya. Lantas aku menghampiri dia dan bertanya khabar. Dia suruh aku makan satu meja dgnnya. Baru aku nak pergi mengambil makanan, aku terjumpa seorang lagi rakan bekas pekerja sykt kulit kerang juga. Maklumlah tuan rumah pun dulu kerja sykt yg sama dgn kami.

Selepas makan, aku sekeluarga menuju ke arah Alai untuk membeli coconut shake. Nak ke Klebang agak jauh (macamlah Melaka tu besar sangat ... hehehe).

Emak Adam kata elok kita pergi solat dulu sebelum pergi beli coconut shake itu.

Aku cadangkan kami solat di Masjid Alai sebab masjid itu bersih. Aku pernah singgah solat di situ dgn staf aku semasa kami kerja dgn sykt kulit kerang.


Adam di hadapan Masjid Alai


Dua beradik ini berwudhu di kolah masjid. Ini bukan swimming pool ya Adam.

Selepas solat emak Adam membeli kupang yg dijual di depan masjid itu. Ini kali pertama kami beli kupang di situ.  Sebelum ini kami biasa membeli kupang di Sg Udang dan di Klebang.



Sekilo cuma RM4 berbanding RM5 - RM6 di tempat lain. Penjual ini bernama Ismail dan baru 3 bulan berniaga. Kupang di kebanyakan tempat di Melaka ini datangnya dari Johor, kata Ismail. Adam sampai menggaru kepala melihat emak Adam beli sampai 7 kg.


Dari masjid itu kami bergerak ke arah selatan Kampung Alai. Di sebelah kiri Persimpangan ke Padang Temu terletak Sekolah Keb Alai. Tak jauh dari situ terletaknya gerai menjual coconut shake.




Ini dia gerai Coconut Shake Alai tersebut. Sesiapa yang tak sanggup berbaris panjang untuk menikmati coconut shake di Klebang bolehlah datang ke Alai

Selepas membeli coconut shake itu kamipun bertolak balik ke KL. Sekian kisah di Alai.

Selesai.

Friday, January 18, 2013

Kalau Ya Pun, Agak-Agaklah Wahai TM

Baru sekejap ini aku dapat sms dari TM. Ini yg ditulisnya:

RM0.00 Msg from TM: Self Service is getting better. Soon you will only need to key in your Unifi phone no. to experience our self service assistance. Tq

Dah dua kali aku dapat mesej yg sama pagi ini. Mengganggu aku yang sedang mengemaskinikan Profil Syarikat.

Aku dah lama bengang dengan TM ini. 

Sebelum ini aku sering mendapat sms di tengah-tengah malam untuk memberitahu aku tentang bil elektronik aku dah disediakan. Aku ingat ada berita kematian atau yang seumpamanya bila dapat sms pukul 2 pagi. Rupanya cuma nak bagi tahu bil dah elektronik dan ada! Kalau sekali dua boleh sabar lagi tapi hampir setiap bulan mereka buat macam tu.

Ada tu aku dapat sms tengah2 malam cuma nak ucapkan terima kasih kerana aku dah bayar bil. Kalau orang bercinta yg tak boleh tunggu siang untuk ucapkan terima kasih.

Aku pernah beritahu kpd pegawai khidmat pelanggan TM supaya tak payahlah buat macam tu lagi. Sejak itu nampaknya dah berhenti hantar sms pada tengah malam ni.

Berbalik kepada mesej yang aku dapat pagi ini. Hantar sekali cukuplah. Dan kalau boleh gunalah Bahasa Melayu kerana kita sama-sama orang Melayu. Siapa lagi yang nak mendaulatkan bahasa Melayu kalau bukan kita?

Thursday, January 17, 2013

Sepohon Kayu Daunnya Rimbun ....

Apakah aktiviti yang paling sesuai untuk anda dan pasangan anda lakukan jika anak-anak semua sudah ke sekolah? Maksud aku anda suami isteri saja yang tinggal di rumah waktu itu.

1) ke pasar?  Kami dah lakukan itu semalam selepas menghantar Adam ke tadika. Kebetulan di kawasan kami ada pasar tani setiap Rabu.

2) pergi bersarapan di luar? Itu pun sudah kami lakukan. Aku ajak emak Adam ke kedai mamak untuk menikmati seorang sekeping roti canai dan berkongsi sepinggan mee goreng mamak. Satu pinggan dua garpu. Takkan nak bersuap2 pulak. Nanti orang lain kat situ kata kami gedik .... hehehe

3) apa lagi aktiviti yang sesuai dilakukan?
Hah yg itu? Tunggulah malam ini. Ambil berkat malam Jumaat .... hahaha

Oh ya ada satu aktiviti yang aku dan emak Adam lakukan pagi Selasa baru2 ini selepas anak2 semua dah ke sekolah dan tadika. Emak Adam mengajak aku membersihkan kebun sebesar kangkang kera di belakang rumah. Dia kata dah semak sebab ada pokok2 liar yang dah semakin membesar di lereng bukit di situ.

Dengan penuh semangat w/pun berbaju terus, emak Adam mula mencantas dahan2 pokok di situ. Tak cukup dahan, batang pokok (ada yg sebesar lengan aku ini) pun ditebang. Pokok lengkuas yang dan merimbun juga tak terselamat dari tetakan emak Adam.

Semasa dia rancak menebang pokok itu, kerja aku mengangkat dahan dan batang pokok serta daun2 ke tepi jalan untuk dikumpulkan sebelum pihak kontraktor Majlis Tempatan datang mengangkutnya ke tempat pembuangan.

Nak tahu banyak tak banyak pokok yang dibersihkan silalah lihat longgokannya di bawah ini



Lebih daripada 10 kali aku berulang alik mengangkat pokok dan dahan2 ini. Lihatlah ianya lebih tinggi daripada kereta Proton Aeroback putih di sebelahnya itu


Letih dan sakit2 badan laki bini buat kerja ini. Esok2 aku nak cadangkan kepada emak Adam buat kerja lain yang lebih menyeronokkan ..... ngeeeee

ps - tu sebab anda lihat urat2 tangan emak Adam timbul di dalam gambar di entri sebelum ini

Wednesday, January 16, 2013

Nak Yang Bogel Togel?

Sebelum balik KL nanti singgahlah beli rantai mutiara ni. Jangan beli di Pasar Filipina tapi belilah yg pasar malam yg depan Pasar Filipina tu sebab di sana lebih murah.

Itu mesej aku kpd Afifah yg belajar di UMS, Kota Kinabalu yg akan balik bercuti hujung minggu ini. Sebenarnya emak Adam nak kirim rantai mutiara. Hari tu dah beli tapi biasalah bila dah bahagi2kan kepada sedara mara dan rakan taulan ada pula yg tertinggal tak terberi..... huhu

Emak Adam pesan beli rantai yg ada mutiara saja. Tak nak yang ada batu. 



Ini contoh rantai mutiara yg ada batu. Batu tu membuat rantai ini berat (abaikan urat yg kelihatan tu sebab semalam emak Adam menebang pokok2 di tepi bukit belakang rumah)

"Oh nak yang togel bogel?" tanya Afifah.

Ciss apa punya ayat pertanyaan.

"Ha'ah," jawab emak dia.

Kepada sesiapa yang nak kirim rantai mutiara, sila beritahu aku cepat. 

Payment term: COD .... hehehe

Monday, January 14, 2013

Satu Malam Bersama Ustaz Azhar Idrus _ Kenangan Yang Sukar Dilupakan

Malam semalam telah berlangsung majlis ceramah Maulidur Rasul oleh Ustaz Azhar Idrus anjuran surau tempat kami. Pada mulanya ceramah ini hendak dibuat di surau kami. Tapi manalah larat surau kecil itu nak menampung hadirin yg dijangka beribu2 orang. Maka ada yg cadangkan ianya diadakan di taman permainan berhampiran surau kami. W/pun tempat itu biasa digunakan untuk majlis kenduri kahwin, ramai yg berpandangan ianya tak berapa sesuai kerana tempat letak kereta jauh selain ruang utk peniaga agak terhad.

Akhirnya Padang MPAJ AU2 dipilih untuk majlis tersebut.

Dari lewat tengahari orang ramai telah mula datang terutama para peniaga yang telah menempah petak2 berniaga daripada pihak surau. Menjelang petang tempat sekitar padang bolasepak itu dah kelihatan seperti tapak pesta.


Orang ramai mula membanjiri kawasan sekitar tempat ceramah selepas solat asar semalam


Keluarga ini telah booking tapak yang mereka fikirkan paling sesuai. Macam nak berkelah pula .... ngeee



Hj Nordin Suleiman yg merupakan S/U Persatuan Penduduk taman perumahan kami melaungkan azan Maghrib sebelum para hadirin berjemaah di tengah padang. Ada sekumpulan lagi yg berjemaah di dalam dewan serbaguna yg bersebelahan dgn padang ini.

Ustaz Azhar tiba dalam pukul 9 malam. Aku yang berada di khemah urusetia dapat menghampiri Ust sebelum beliau memulakan ceramah.



Ust Azhar bersama Pengerusi surau kami (duduk bersebelahan UAI) dan bilal surau kami (berbaju Melayu hijau batang pisang).  Yang pakai t-shirt tu tukang enterframe aje



Sebahagian daripada hadirin yang membanjiri Padang AU2 semalam. Keluarga aku pun ada sama di situ. Aku takde di situ sebab aku duduk di belakang meja penceramah .... ngeeee


Seperti biasa, banyak pengajaran yang boleh diambil daripada ceramah dan juga daripada sesi soal jawab. Para hadirin juga tak kering gusi dengan punchline UAI. W/pun secara berseloroh dan melawak tapi point tetap ada. Terbaeeklah Ustaz!


Cendol Bakar Drive Thru Assam Jawa

Semalam semasa nak balik kampung, kami singgah ke warung Cendol Bakar di Assam Jawa, Ijok. Yang buat cendol ini terkenal kerana ramai yg menyangka cendol itu dibakar sebab namanya begitu. Tapi sebenarnya Bakar tu nama taukenya dulu! kuang 3x.

Satu lagi kelebihan cendol ini ialah ianya menyediakan khidmat pandu lalu atau drive thru. Kalau malas nak turun dan minum di situ bolehlah beli secara drive thru saja.



Kereta berbaris utk beli secara drive thru (sebelah kiri gambar tu).  Nasib baik semasa kami sampai semalam cuma ada 2 buah kereta sedang menunggu giliran. Ada masa kereta berbaris sehingga ke jalan besar



Kereta aku sedang menunggu giliran. Drive thru taklah mcm di McD atau KFC. Di Cendol Bakar, di situlah order, di situlah ambil cendol dan di situ juga bayar ..... kepada orang yg sama 
huhuhu



Ini pilihan yg ada dan senarai harga 


Kalau nak makan, ada pelbagai hidangan terdapat situ. Boleh duduk di tempat yang menyediakan suasana kampung ini


Macamana nak ke tempat ini? Kalau dari arah KL ke Kuala Selangor melalui lebuhraya LATAR, belok kiri selepas tamat lebuhraya. Selepas anda melalui pekan kecil Bukit Rotan (berhati2 perangkap laju di situ kerana had laju cuma 70 km/j) terus lagi dalam 2 km. Anda akan melihat banyak kereta parking di sebelah kanan jalan berhampiran stesen minyak Caltex terutama di hujung minggu atau hari kelepasan am kerana mereka ini ke warung cendol tersebut. Masuklah ke kanan dan itulah dia gerai Cendol Bakar.


Sunday, January 13, 2013

Jemputan Ke Majlis Ceramah Ust Azhar Idrus

Surau Al-Ittifaq (surau taman perumahan aku) akan menganjurkan Ceramah Maulidur Rasul oleh penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus pada malam ini. Butiran lanjut adalah seperti berikut:

Tarikh: 13 Jan 2013
Masa : 9 malam
Tempat : Padang MPAJ, AU 2, Taman Keramat



Bagi pihak surau aku ingin menjemput kalian yg berkesempatan untuk sama2 menghadiri majlis ini. Ini adalah kali pertama surau aku mengadakan majlis ini. Sempena majlis tersebut, tabung pembinaan surau aku dilancarkan. Kami berharap akan mendapat sumbangan ikhlas daripada para hadirin.

Selain itu, pihak surau telah menyediakan petak2 berniaga di sepanjang jalan berhampiran padang tersebut. Setiap petak seluas 10' x 10' disewakan dengan kadar RM50.  Kami terkejut di atas sambutan hebat terhadap tapak2 ini. Lebih daripada 100 tapak disediakan dan habis ditempah seawal minggu lepas lagi semasa banner pun belum naik. Ada peniaga yg datang dari juah seperti dari Kedah, Perlis dan Kelantan dan sebahagian mereka ini adalah peniaga tetap di majlis2 ceramah Ust Azhar Idrus.

Kalau ada kesempatan aku akan buat entri tentang para peniaga ini.

Friday, January 11, 2013

Tak Perlu Kau Berlari Mengejar Mimpi Yang Tak Pasti

Kita semua ada impian, ada mimpi.
Menggapai cita-cita, mengejar matlamat
Merangkak, berjalan bahkan berlari
Tapi ....



Mereka berkata
Tak perlu kau berlari
Mengejar mimpi 
Yang tak pasti 
Hari ini 
Juga mimpi
Maka biarkan 
Ia datang
Di hatimu



Thursday, January 10, 2013

Nak Tumpang Glamer Boleh?

Haikal sering komplen kata aku banyak memberikan perhatian kepada kisah2 adiknya si Adam di dalam blog aku ini sehingga Adam dikenali ramai. Bahkan emaknya pun dikenali dgn panggilan emak Adam sedangkan dia pun emak Haikal dah adik beradik lain.

Jeleslah tu.

Semalam masa aku balik dari Serdang Haikal memberitahu aku dia dah dapat salinan sijil Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK). Ujian ini lebih kurang UPSR utk sekolah2 Kafa. Alhamdulillah Haikal dapat straight A's. Aku bagi dia RM80. Sukanya bukan main. RM10 bagi setiap A yg dia dapat. Emaknya kata untunglah dia sebab masa abang2 dan kakak2nya dulu aku bagi tak sampai RM10 utk setiap A. Rezeki Haikallah kiranya.

Tengahari tadi sebelum dia ke sekolah agama aku tanya samada dia nak aku buatkan entri pasal perkara ini.

"Eh mestilah nak!" katanya dan terus memberi aku salinan sijil dia.



Nak tumpang cari glamer kat blog inilah tu ..... huhu

Tuesday, January 8, 2013

Mee Tarik Warisan Asli

Malam minggu baru ni kami sekeluarga pergi makan mee tarik warisan asli di Sg Besi. Dah ramai orang dok bercerita tentang mee tu sebab cara membuatnya yg serupa dengan cara di Xian, China.

Aku nak bawa famili aku ke Xian tu belum mampu lagi sebab duit yg ada nak guna utk perkara lain. Jadi emak Adam mengajak kami ke Sg Besi aje. Tengok di JJCM tu macam sedap aje mee tu.

Masa kami sampai tempat tu penuh sesak dgn pelanggan. Semuanya orang Melayu w/pun tauke kedai itu China Islam. Bangsa lain jarang nak makan tempat orang lain agama w/pun satu rumpun dgn mereka. Orang kita saja yg kurang memilih dalam perkara ini selagi halal. Kedai Cina ke, kedai India ke, kedai bangsa apa sekalipun kita masuk makan selagi tak haram.... huhu.

Mari tengok cara membuat mee itu


Cekap betul dia buat mee mengikut kehendak pelanggan. Ada yg kasar dan ada yang halus.


Ini antara menu yang kami order. Namanya aku tak ingat tapi korang tengoklah sendiri


Mee sup dgn daging


Mee kuah dgn cendawan


Daging dimasak dgn cendawan dan cili benggala


Kalau yg gemar sayur mcm emak Adam mee yg ini sesuai


Daging kambing dgn pencucuk gigi (toothpick lamb). Hidangan pembuka selera. Simpan pencucuk gigi itu untuk digunakan selepas makan .... hehehe


Untuk minuman aku dan Hazwan pilih teh cina pelbagai perisa ni.


Iqram Dinzly (betul ke aku eja nama dia tu?) pernah datang makan free kat sini.


Terima kasih kpd emak Adam yang membelanja kami malam tersebut. Semua di atas tu tak sampai RM100.


Monday, January 7, 2013

Cara-Cara Nak Buat Anak

Baru sekejap tadi aku menjengok Nuffnang aku. Nak tengok kalau-kalau dah banyak duit iklan aku. Tak naik2 pun. Tapi adalah juga dalam RM10 dari banner campaign yang belum dikreditkan ke akaun aku sebab kempen itu masih berjalan.

Lepas tu aku tengok pula kata kunci yang digunakan oleh orang yang masuk blog aku. Buat kali keduanya sejak aku tengok kata kunci tu kata kunci yang paling banyak digunakan untuk masuk blog aku ialah:

"Cara-cara buat anak."

Macamanalah mereka ni boleh sampai ke blog aku untuk mencari cara-cara tersebut.

Seingat aku takde entri aku yg bercerita pasal cara2 nak buat anak. Kalau cara nak tanam tangki minyak adalah ..... huhu


Saturday, January 5, 2013

Manchester United Punya Pasal

Semasa kami bercuti di Kuala Terengganu baru2 ini kami telah ke Dataran Shahbandar untuk makan malam. W/pun agak terkenal tapi tempat makan itu agak tersorok. Dua kali kami pusing baru jumpa tempat tu. Sebahagian gerai makan di situ telah tutup semasa kami sampai di situ. Mungkin tak berapa laku kot.

Kamipun cuba cari gerai yg sedap makanannya. Tak pernah makan di situ jadi manalah nak tahu mana yg sedap. Kawan2 pun takde yg beritahu gerai mana yg sedap. Akhirnya kami cari yg ada ramai orang sedang makan tapi kebanyakannya agak lengang. Orang di KT ni tak selalu makan di luar agaknya. Pelancong pula lebih tertumpu ke Pantai Batu Buruk kerana di sana lebih established.

Kami order sotong goreng tepung, kerang bakar, ikan jenahak bakar letak sambal, sup tulang, sup sayur dan kangkong goreng belacan. Sementara nak tunggu makanan kami sampai aku lihat tv di gerai itu takde siapa yg menonton. Ada satu keluarga di meja sebelah kami yg telah duduk lebih awal daripada kami sibuk makan dan tak tengok tv. Akupun minta kebenaran daripada tuan gerai untuk tukar saluran ke Astro utk menonton ulangan rancangan Maharaja Lawak Mega yg telah ke udara secara langsung pada malam sebelumnya. Kami tak dapat tengok sebelum tu sebab hotel kami takde saluran 134.

Setelah makanan dihidangkan anak2 aku bergelak ketawa menonton rancangan lawak tersebut. Habis rancangan lawak tu pukul 10 mlm. Kami belum habis makan lagi sebab makanan yg diorder agak banyak. Kayuh pelan2. Sambung pula tengok Where the Money Drop?

Tak berapa lama setelah rancangan itu bermula datang tiga orang lelaki ke gerai itu. Mereka order mee dan kueh teow serta minuman. Bangun salah seorang daripada mereka mengambil remote control tv lalu tanpa bertanya atau meminta izin terus tukar siaran bolasepak. Malam tu Manchester United melawan Swansea. Kalau lawan pasukan yg kuat boleh tahanlah juga.

Ciss. Tak guna betul. Kalau ya pun peminat bola serta penyokong Man Utd (mamat yg tukar channel tu siap pakai jersi Man Utd) hormatlah sikit kepada orang lain yg sedang menonton saluran lain. Kalau nak kira, kami makan dekat RM100 di gerai tu. Kamu tu baru berapa hinggit aje. Itu tak kisahlah tapi cara dia tu aku tak berkenan.

Kami habiskan makan mana yg terlarat dan aku bayar sebelum kami belah.

Dengar cerita malam tu Man U sekadar seri 1-1 dgn Swansea. Padan muka kau.


Friday, January 4, 2013

Datang Sehelai Sepinggangpun Boleh Kaya

Aku sering melihat Mat Bangla berbasikal roda tiga mencari barang2 lusuh di taman perumahan aku ini untuk dijual sebagai barang kitar semula. Biasanya dia akan datang sehari sebelum lori sampah datang. Dia akan buka kebuk sampah (refuse chamber) di depan setiap rumah dan menyelongkar mencari barang2 yg boleh dijual semula.

Satu hal yang aku tak suka ialah selepas dia selongkar dia tak kemas semula sampah2 tu ke dalam tong sampah. Pintu tong sampah pun tak ditutup!

Kalau dulu dia berbasikal roda tiga sekarang dia dah menggunakan motorsikal beroda tiga pula. Aku yakin ini mesti hasil daripada jualan barang2 kitar semulanya itu. Kalau dulu dia boleh buat 1 atau 2 trip sehari ke pusat kitar semula, tapi dgn motorsikal roda tiga ni aku percaya dia boleh buat 3-4 trip sehari.

Tak mustahil tak lama lagi dia datang naik van atau lori utk mencari barang2 buangan yg terpakai ini - barang2 yg kebanyakan kita buang begitu saja.

Itulah kalau rajin berusaha. Rezeki ada di mana-mana.

Nota kaki: Emak Adam rajin mengumpulkan barang2 yg boleh dikitar semula dan akan meminta aku menghantar ke pusat jualan kitar semula untuk menambah duit dapur. Tapi setakat ini jangankan nak beli van atau motorsikal roda tiga dgn duit yg terkumpul itu, nak beli dapur baru pun tak lepas lagi ..... huhuhu

Thursday, January 3, 2013

Bila Sebahagian Selangor Takde Air

Pagi semalam semasa aku buka paip air di sinki dapur aku dapati air dah takde. Aku tak terkejut sebab malam sebelum tu tekanan air dah rendah. Lagipun dah kecoh penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Hulu Klang dan Wangsa Maju takde bekalan air sejak seminggu lalu.

Malam sebelum tu semasa aku lihat air di paip keluar macam kencing kucing aje, aku tadah air dalam 4 biji baldi dan cerek untuk simpanan w/pun tangki di rumah kami agak besar dan boleh menampung keperluan utk beberapa hari. 

Memandangkan semalam takde air, kami keluar brunch selepas mengambil Adam dari tadikanya yang habis pukul 10 pagi. Susah nak memasak dan membasuh kalau takde air ni.

Waktu Zohor semalam ada jemaah yang menggunakan air mineral untuk berwudhu kerana takde air di tempat wudhu kerana paip di situ terus daripada paip Syabas. Kalau dia ke tandas tentu dia akan dapati di sana masih ada air sebab paip itu disambung dengan tangki. Ada 2 orang warden trafik DBKL yg bertugas di tempat tanah runtuh di Bukit Setiawangsa yg tumpang bersembahyang di surau kami semalam ok saja berwudhu di tandas.

Dalam pukul 3 petang semalam salah seorang jiran aku telefon tanya samada rumah aku ada air. Aku kata air terus dari paip luar takde tapi air tangki masih ada. Dia kata air di rumahnya dah kering termasuk yg di dalam tangki. Mereka sekeluarga tak menyimpan air langsung kerana tak tahu bekalan akan terputus. Kesian aku dengar.

Lewat petang semalam seorang lagi jiran memberitahu air di rumahnya pun dah kering. Dia tengah pening tak tahu nak buang air besar kat mana.... huhu.

Menurut laporan dan berita yg diterima, punca ketiadaan bekalan air adalah disebabkan kerosakan pam di loji air Wangsa Maju dan Pudu Ulu. Banyak kawasan yg terjejas sejak seminggu lalu dan bekalan sedang dipulihkan berperingkat2. Ianya akan mengambil masa sehingga seminggu untuk pulih sepenuhnya.

Petang semalam anak2 mengajak makan malam di luar kerana takde air. Kalau seminggu macam ni boleh tergelincir bajet di tahun baru ni. Kalau malam ni takde air, lagilah susah sebab malam Jumaat .... ngeeee.

Sebenarnya kalau aku nak bekalan aku boleh minta jasa baik adik kembar aku yg jadi org kuat di Syabas untuk menghantar lori tangki atau tangki statik ke kawasan aku ni. Tapi tak sedaplah nak gunakan kabel macam tu.... huhu.

Masa kami nak keluar makan malam semalam, aku dapati air telah mula keluar dari paip di sinki dapur. Alhamdulillah.  Tak sampai 12 jam bekalan di tempat kami dah pulih.

Di negara orang di selatan tanahair kita yang terpaksa mendapatkan bekalan air mentah dari negara kita, mereka tu takde pula masalah air macam di sini.

Kepada yang masih menghadapi masalah bekalan air tu, aku pun tak tahu apa nak cakap.  Aku hanya mampu bersimpati .... 

Wednesday, January 2, 2013

Dunia Baru Adam Hakimi

Pagi ini Adam memulakan dunia baru - dunia pembelajaran secara formal. Dia memasuki tadika yang terletak di kawasan perumahan aku ni.


Kanak2 berkumpul sebelum masuk kelas. Adam yg kanan sekali sempat bersenda gurau dgn kawan barunya


Hari pertama ibubapa pun ikut menunggu tadika. Ada juga kanak2 yg menangis nak balik



Ada juga yg datang lewat. Tak tahu salah ibubapa atau salah anak. Yang tak datang langsung pun ada juga hari ni


Cikgu memberi tag nama kpd Adam. Ada dua org Adam di kelas dia dan seorang lagi Adam di kelas lain tahun ini. Nama Adam memang sedang popular seperti nama yg bermula dgn huruf 'F' beberapa tahun lalu

Untuk belajar di tadika bukan murah sekarang. Pendaftaran dan buku serta pakaian saja dah lebih RM800. Bayaran bulanan pula mengalahkan yuran tuisyen universiti. Kena ada tabung macam PTPTN  kot lepas ni untuk membantu ibubapa yang kurang berkemampuan. Kalau di kampung ada juga tadika KEMAS yg yuran bulanan cuma RM15 tu..... huhuhu

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails