Thursday, February 28, 2013

Bukan Takde Masa ....

Bukan takde masa nak update tapi aku nak ke Utara hari ni. Ada kerja sikit di sana. Nak cari sesuap dua nasi. Nasi kandar tentunya.

Jumpa lagi petang esok.

Doakan aku selamat pergi dan selamat pulang.


Malam ini malam Jumaat .... huhuhu

Wednesday, February 27, 2013

Mimpi Baeeek Punya

Jika sebelum ini aku ada menulis kalau mimpi ikan itu tandanya kita akan mendapat rezeki tak lama selepas itu, malam ini aku nak cerita mimpi yang aku rasa lebih baik daripada itu.

Pagi tadi (semalam) semasa menemani emak Adam membeli barang dapur aku tengok harga ikan macam biasa,


Ikan tongkol sekilo RM10

Tapi bila emak Adam nak beli udang kering aku terkejut tengok harganya.


1 kg RM50

Emak Adam ambil sikit untuk buat masak tapi setelah ditimbang harganya RM9.00.  Melihat harga tu emak Adam minta aku balikkan semula udang kering tu sebab mahal sangat.

Aku rasa kalau aku mimpi udang kering, kemungkinan rezeki yang nak dapat tu lebih banyak ..... hehehe

Ok aku nak masuk tidur. Cepat tidur cepat bermimpi .... hikkss

Monday, February 25, 2013

Apa Yang Anda Lakukan Bila Kena Kencing?

Hari ini aku terbaca ada seorang kawan fb aku kata dia tak akan menghalalkan duit dia yang ditipu oleh seorang penganjur MLM dan beberapa orang downlinenya. Dia kata sampai bila-bilapun dia tak halalkan duit itu sebab dia sangat berbulu dengan orang yang telah kapur duit dia itu. Kiranya dia dah kena kencinglah.

Aku faham perasaan dia tu.

Walaubagaimanapun aku tinggalkan komen kat status dia tu dengan berkata anggaplah itu bukan rezeki dia dan eloklah halalkan saja. Tak perlulah nanti di Padang Masyhar nak kena berkira-kira dengan orang itu. Lagipun orang yang kencingkan dia tu tak jadi kaya dan dia pula taklah miskin merempat kerana kejadian itu.

Kalau ikutkan perasaan memang sakit hati kena tipu tu. Tapi kalau kita terus dengan sakit hati kita, itu tak menjamin orang itu akan menggantikan atau membayar balik duit yang dah dikapurnya itu. Buat ulcer saja memikirkan perkara ini. Silap haribulan boleh dapat darah tinggi atau sakit jantung.

Kita lupakan aje perkara itu dan teruskan kehidupan. Kalau ada rezeki mungkin dia akan bayar balik. Kalau dia tak bayar balikpun, rezeki Allah ada di mana-mana.

Peringatan ini aku tujukan kepada diri aku juga. Sejak menceburi diri di dalam bidang perniagaan ini sudah beratus ribu ringgit aku kena tipu. Ada yang dah ambil barang daripada syarikat aku tapi liat nak bayar. Dah masuk dua tahun hutang dia tak habis bayar lagi. Bila aku atau staf aku tagih hutang kami, kami pula yang kena marah. Adoi orang macam ini pun ada.

Ada lagi beberapa kes kami kena tipu.Tak payahlah aku huraikan di sini. Buat sakit hati aje.

Sekarang ini aku teruskan usaha aku. Aku ambil pengajaran daripada kes-kes yang lepas dan berharap lebih ramai orang yang jujur dalam dunia perniagaan di negara kita.


Sunday, February 24, 2013

Hanger Tudung

Aku dah tak kerja makan gaji sejak 5 tahun lepas. Untuk menyara hidup aku dan keluarga aku ada buat bisnes sikit-sikit.

Anak aku yang sulung tu selepas tamat pengajian di UIAM tahun lepas pun tak kerja makan gaji. Dia buat bisnes jual beli emas melalui Public Gold.

Anak aku yang kedua pula sedang mengambil kursus ACCA di UiTM. Seperti pelajar-pelajar bidang professional yang lain, dia tak ambil pinjaman PTPTN kerana kadar ujrah atau faedahnya adalah lebih tinggi jika dibandingkan dgn pelajar yang mengambil jurusan lain. Untuk menampung perbelanjaan pelajarannya dia membuka kedai maya yang dikenali dengan nama Sweet Little Cotton yang mengkhusus di dalam jualan kain kapas. Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan. Kalau korang belum pernah singgah di facebooknya tu, sudi-sudilah jengok.

Emak Adam pula sejak berkahwin dengan aku dia jadi surirumah sepenuh masa. Dia minat berniaga dan ada juga buat bisnes kecil-kecilan bila ada masa terluang.

Baru-baru ini Atikah galakkan emaknya untuk berniaga di facebook kerana itu merupakan medium paling ampuh sekarang. Tak payahlah emak Adam nak keluar mencari pelanggan.

Emak Adam berniaga hanger tudung sebab ramai orang yang mencari hanger tudung tapi tak tahu kat mana nak beli.

Di bawah ini aku pamerkan hanger tudung yang boleh ditempah.









Kepada yang berminat untuk menempah hanger-hanger ini bolehlah hubungi (sms atau whatsapps) 012-6830486.

Harga tidak termasuk kos penghantaran.





Friday, February 22, 2013

Jom ke Rantau Panjang

Bila sebut Rantau Panjang sebahagian kaum wanita akan teruja kerana di sana boleh shopping. sebahagian kaum lelaki pula teruja sebab boleh lajak seberang sempadan ke Golok ..... huhu

Itu adalah Rantau Panjang, Kelantan.

Tapi di Malaysia ini ada lagi beberapa tempat yang dipanggil Rantau Panjang juga.

Contohnya:

1) Di Klang, Selangor iaitu di Batu 3 Jalan Kapar dan kawasan2 sekitarnya



2) Berhampiran pekan Batang Berjuntai atau Bistari Jaya, juga di Selangor

3) Di antara Simpang Ampat ke pekan Masjid Tanah Melaka. Aku tahu tempat tu sebab dulu anak-anak aku belajar di Trendak dan di London. Untuk ke tempat anak aku belajar aku akan melalui Rantau Panjang ini.

Mungkin ada lagi Rantau Panjang lain di negara kita. Sesiapa yang tahu, sila berkongsi maklumat.

Thursday, February 21, 2013

YB In Action

Setelah dua entri berturut2 aku bercakap bab tanah untuk stesen minyak, hari ini aku nak demo tindakan yang aku ambil bila ada orang menawarkan tanah.

Mula-mula aku akan kaji kesesuaian lokasi tanah tersebut. Kalau tanah tu di tempat jin bertendang, tak payah nak buang masa.

Seterusnya, jika aku rasa kedudukan tanah itu ada potensi tanya pula harga yang diminta. Kalau dia kata tanah itu RM500 sekaki persegi, sah tak akan ada syarikat minyak yang nak beli. Biasanya tanah yang nak dijual itu masih berstatus tanah pertanian. Harga kenalah berpatutan dgn status itu kerana untuk tukar syarat, pejabat tanah akan kenakan premium. Bukan sikit jumlah premium tersebut. Jika di Selangor, satu ekar premiumnya di antara RM700K - RM800K bergantung kepada taksiran Jabatan Pernilaian.

Semalam aku pergi melawat dua tapak stesen minyak di Klang setelah seorang rakan fb memberitahu aku ada orang nak jual tanah dan stesen minyak di sana. Inilah untungnya ada ramai kengkawan fb dan blogger ...... ngeeeee

Mari kita tengok antara gambar yang sempat dirakam oleh PA aku semalam. (PAlah sangat. Sebenarnya dia ini rakan blogger dan fb aku)


Stesen minyak warna oren ini hendak dijual lock stock and barrel oleh pemiliknya yang berhasrat nak migrate ke ostolia. Aku ada beberapa option jika aku beli stesen ini. Tak boleh cerita detail di sini


Yang baju merah tu rakan fb aku
Tempat cuci kereta ini kalau dijadikan restoran KFC bagus ni .... ngeeee

Tanah kosong di belakang stesen ini boleh dimajukan dengan projek perumahan

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Selain daripada stesen minyak warna oren ini, kami juga melawat sebidang tanah yang berpotensi untuk dimajukan sebagai stesen minyak.


Buat masa ini hanya pokok2 kelapa tua ini yang memenuhi tapak ini. Rumpun2 serai ini ditanam di rezab jalan oleh org yg tak dikenali


Macha: Kanan sana ada satu saja stesen minyak
Aku: Ini semak mau kasi bersih baru harga boleh kasi up lagi
Hero baju merah: Apa benda dua orang ni merapu


Selesai lawatan tapak kami ke restoran ini untuk menjamu selera

Nasib baik tangan buat macam tu di depan. Kalau di sebelah belakang dah macam Lan Todak dalam filem Juvana pula ... hehehe


Jemput makan semua. Baru nampak muka PA aku tu. Dia suka berkongsi cerita di blognya kerana ada saja kisah ... yang ingin kukongsi .... katanya. Takkan tak kenal dia blogger femes ni kan.


Penghargaan: 
1) Encik Azhan Abd Rahman yang buka lubang untuk 2 sites ini dan belanja kami makan tengahari
2) Azie Azah yang dengan gigih mengambil gambar2 sepanjang lawatan ini. Sebahagian gambar akan aku gunakan untuk proposal aku

Tuesday, February 19, 2013

Nak Jual Terus Atau Nak Pajakkan

Aku nak sambung kisah penjualan tanah untuk stesen minyak.

Kalau syarikat minyak dah berkenan dengan tanah milik kita atau tanah yang kita jadi brokernya (atau lebih sedap bunyi jika digunakan istilah land vendor), kita sebenarnya ada dua pilihan sebelum tanah itu bertukar tangan.

Pilihan pertama ialah kita jual terus tanah itu. 

Pilihan kedua ialah kita pajakkan tanah itu kpd syarikat minyak untuk tempoh tertentu - biasanya 30 tahun.

Pilihan pertama lebih kemas dan biasanya harga tanah lebih tinggi terutama jika ianya adalah tanah pegangan bebas (freehold). Tapi dengan menjual tanah itu kepada syarikat minyak, tanah itu sudah terlepas daripada milik kita.

Jika kita rasa sayang atau memikirkan nasib anak cucu di kemudian hari kita boleh memilih untuk memajakkan tanah itu. Sebagai contoh jika tempoh pajakan adalah selama 30 tahun, tanah itu akan kembali menjadi milik mutlak kita selepas tamat tempoh tersebut. Pada masa itu, syarikat minyak mungkin mahu teruskan pajakan dengan bayaran baru. Masyuukkk lagi tapi mungkin anak cucu yang merasa sebab kita mungkin dah takde di dunia ini.

Jika syarikat minyak tak mahu sambung pajakan, tanah itu kita boleh pajakkan kpd syarikat lain atau kita majukan utk projek rumah kedai dsbnya.

Kalau boleh dipajakkan kenapa perlu dijual?

Soalan yang bagus tu (hehehe puji diri sendiri!)

1) Jika kita pajakkan, biasanya harga yang ditawarkan oleh syarikat minyak adalah lebih rendah.

2) Bayaran pajakan mungkin tidak dibuat sekaligus pada permulaan tempoh pajakan. Ada syarikat yang membayar sebanyak 3 kali selama 30 tahun itu iaitu pada permulaan tahun pertama, kesebelas dan ke 21.
Sebagai contoh jika tanah itu dipajakkan dgn harga 3 juta ringgit, anda akan dapat RM1 Juta pada tarikh-tarikh di atas. Dan seperti kita tahu, nilai duit sejuta itu pada tahun ke 11 dan tahun ke 21 tidak sama dgn nilai sejuta ringgit tu sekarang.

3) Tanggungjawab membayar cukai tanah pada setiap tahun kekal dengan pemilik tanah dan bukan dibayar oleh syarikat minyak kerana mereka hanya memajak tanah anda. Mungkin anda rasa cukai itu tak banyak sekarang ini. Itu disebabkan tanah anda berstatus tanah pertanian. Tapi jika syarikat minyak memajak tanah anda, tanah itu akan ditukar syarat kegunaan sebagai stesen minyak. Cukai tahunannya adalah jauh lebih tinggi ..... huhuhu

Samada anda memilih utk menjual atau memajak tanah anda, kalau laku tanah anda itu utk tapak stesen minyak, memang lumayan pulangannya!


Aku rasa cukuplah penerangan di atas untuk kali ini. 

Monday, February 18, 2013

Cara-Cara Menjual Tanah Untuk Tapak Stesen Minyak

Beberapa hari lepas aku dapat satu emel bertanyakan tentang perjualan tanah utk tapak stesen minyak. Orang yg bertanya itu ada 2 bidang tanah di kiri kanan lebuhraya PLUS. Ada seorang broker tanah ingin menjualkan tanah itu kepada syarikat minyak dan meminta salinan geran tanah. Dia bertanya samada selamat untuk dia berbuat demikian.

Sebelum itu ada juga kengkawan yang telefon atau sms atau PM aku bertanya tentang topik yang sama.

Untuk itu aku rasa terpanggil untuk berkongsi serba sedikit maklumat tentang penjualan atau pemajakan tanah kepada syarikat minyak.

Bagi kebanyakan orang yg ada tanah yang hendak dijual atau dipajakkan kpd syarikat minyak mereka (tuan tanah) akan merasakan tanah merekalah yang paling sesuai utk tujuan itu. Malangnya apa yang mereka rasakan amat sesuai itu mungkin bukan apa yg dicari oleh syarikat minyak.

Pada amnya syarikat minyak akan membuat perancangan untuk mengembangkan Network mereka dan akan mengenal pasti kawasan-kawasan di mana mereka ingin mendirikan stesen minyak yang baru. Jika tanah tuan2 atau puan2 terletak di kawasan yang mereka kehendaki, separuh daripada perjuangan itu telah dimenangi. Tapi perjalanan untuk yang separuh lagi itu masih jauh dan banyak perkara yang perlu anda lakukan.

Walau bagaimanapun bagi tanah yg tidak terletak di kawasan yang mereka kehendaki, anda masih boleh mengusulkan kepada syarikat minyak jika anda kenal dengan pegawai yg bertanggungjawab tentang urusan perancangan (planning officer) atau jual beli tanah (real estate officer). Kalau anda tak kenal bolehlah hubungi syarikat atau individu yang menjalankan aktiviti tersebut. Kalau nak hubungi akupun boleh sebab syarikat aku bergiat cergas di dalam bidang ini dan mempunyai hubungan yang baik dgn syarikat2 minyak.

Tanah yang macamana yang syarikat minyak cari?

1) di tepi jalan yang mempunyai banyak kenderaan lalu setiap hari.
Banyak itu bermakna sekurang2nya 20,000 kenderaan sehari. Kalau setakat 5,000 kenderaan sehari tu tak payah buang masa.
Sebagai contoh MRR2 mempunyai bilangan kenderaan di antara 70,000 hingga 100,000 sehari bergantung kpd lokasi.
(oh ya sesiapa ada tanah di sepanjang MRR2 sila hubungi saya!)

2) keluasan tanah dalam satu ekar.
Keluasan ini dikira setelah ditolak serahan kepada JKR untuk pelebaran jalan dan juga serahan kepada JPS untuk rezab parit. Bergantung kepada lokasi, serahan kpd JPS mungkin tidak diperlukan. Tetapi serahan utk rezab jalan memang mesti kena. Kelebaran serahan itu bergantung kepada pihak JKR. Biasanya 50 kaki dan sepanjang road frontage. Kalau buka tanah anda 200 kaki bermakna anda perlu menyerahkan (dengan percuma!) tanah seluas 50 x 200 = 10,000 kaki persegi. Ini dah dekat suku ekar! Jadi dalam kes seperti ini keluasan tanah asal eloklah di dalam 1.2 - 1.5 ekar.

3) tiada stesen minyak sediada syarikat yang sama berhampiran dgn tanah yang hendak anda jual
Kalau ada stesen sykt minyak yang sama, kenalah cari syarikat minyak lain. Tapi kalau semua syarikat minyak telah ada stesen di kawasan itu, besar kemungkinan tiada di antara mereka mahu melabur membina sebuah lagi stesen baru. Makanya, tak lakulah tanah anda itu.

4) tapak tanah senang dilihat oleh para pengguna jalanraya
Untuk tujuan itu tanah sebaik-baiknya berada di laluan yang lurus atau di lengkok yang positif supaya pemandu senang melihat stesen tersebut. Lengkok positif bermakna tapak tersebut berada di sebelah kiri jalan bagi jalan yang membelok (turning) ke kanan.


Aku rasa cukuplah dulu penerangan untuk kali ini. Jika ada sambutan aku akan sambung kemudian.

Sunday, February 17, 2013

Gembira, Terharu dan Sebak

Majlis walimatul urus jiran setaman kami telah selesai dgn jayanya semalam. Banyak kisahnya yang aku upload di fb sejak daripada malam Jumaat lagi. Majlis nikah diadakan di rumah keluarga pengantin perempuan (jiran aku tu) pada pagi Jumaat. Ramai juga jiran2 yg hadir kerana kebanyakan mereka dah pencen. Yang kerja sendiri macam aku ni pun dapat ikut sama. Selain jiran2 lelaki, jiran wanitapun ramai yg hadir. Itu yang aku suka tinggal di taman perumahan ini.

Semalam diadakan majlis kenduri menyambut pengantin. Keluarga pengantin lelaki yg datang dari Kuantan telah bersama2 bisan barunya utk mengadakan majlis di sini. Ramai jemputan sebab maklumlah dua keluarga bergabung. Tentu meletop .... hehehe. Dengarnya 2,000 telah hadir kerana bapak pengantin order makanan utk 2,200 orang.

Orang yg paling gembira semalam tentulah kedua mempelai dan keluarga masing2.



Pengantin diarak ke pelamin di khemah khas. Di sebelah kiri adalah jiran aku (yang berbaju hijau tu) dan isterinya


5-6 tahun dulu bila ada jiran yg nak mengadakan walimatul urus di taman kami ini, kami akan bergotong royong menyediakan makanan dsbnya. Kami tak guna khidmat katerer kerana dgn bergotong royong itu akan dapat merapatkan lagi silaturahim di kalangan penduduk taman ini. Ia juga dapat mengurangkan kos utk tuan rumah.

Tapi sekarang, penduduk di sini pun dah semakin tua dan tak larat mcm dulu lagi. Maka sekarang ini semua majlis diswastakan kpd katerer. Jiran2 hanya tolong menyediakan hidangan tambahan seperti rojak buah, bubur kacang dan teh tarik. Selain itu jiran2 juga menolong memberikan doorgift. Biasanya akan diadakan majlis berkampung beberapa minggu sebelum majlis untuk memberikan tugas. Apa yang membuat aku terharu jiran2 ini tanpa segan silu datang membantu w/pun ada di antara mereka bos besar di pejabat masing2.


Antara jiran2 wanita yang sama2 terlibat menjayakan majlis sempat bergambar di pelamin sebelum pulang ke rumah masing2. Sebahagiannya berbaju hijau mengikut warna tema. Cuba cari mana satu emak Adam. Adam yang berbaju merah di depan tu!


Petang semalam setelah para jemputan pulang, ada sikit lagi makanan lebih. Pihak katerer telah diminta membungkus makanan yg masih berbaki utk diberikan kpd jiran2 yg telah menolong di majlis tersebut.
Ada seorang kanak2 dalam usia sekitar 10 - 11 tahun yang tinggal di flat kos rendah berhampiran telah berjumpa salah seorang jiran aku meminta diberikan sebungkus nasi dan lauk untuk dibawa balik dan diberikan kpd adiknya. Aku difahamkan ibu mereka adalah seorang ibu tunggal. Kanak2 ini sering juga datang ke surau di tempat kami pada malam Jumaat utk sama2 bersembahyang dan menikmati jamuan selepas majlis tahlil. Sebelum ini aku tak tahu dia daripada keluarga susah.

Apabila dia berjumpa kakitangan katerer itu semalam dia telah diberikan sebungkus nasi minyak bersama lauk2nya. Bukan main gembira dia. Dia ke dapur tempat aku tengah mengemas untuk mencari plastik yang lebih besar utk menyarung plastik kecik pembungkus lauk2 dan nasi tu. Aku beri dia satu plastik. Dia senyum sampai ke telinga. Selepas itu dia pun berlalu pergi.

Aku pula yang sebak melihat gelagat dia. Bagi kami, nasi dan lauk itu kadang2 tak dimakan. Kat rumah ni akulah dan mungkin emak Adam yang akan makan berkat dari rumah pengantin. Anak2 kami biasanya takdenya nak makan berkat tu. Tahan mereka masak telur mata kerbau atau keluar beli mekdi daripada makan berkat tu. Tapi budak ini begitu gembira dapat membawa pulang berkat untuk adik dan ibunya kerana mungkin hanya itu makanan yang ada utk malam semalam.

Friday, February 15, 2013

Van Ustaz

Hari Selasa lepas aku dan keluarga ke Kuala Kubu Baru. Kami ke sana bukan nak tulis nama atas batu sebab tak tahu di mana batu yang boleh ditulis nama tu .... huhu.

Kami sebenarnya tolong menghantar sepupu Adam (anak Kaklong emak Adam) balik ke IKBN di sana.




Adam sempat suruh ambil gambar dia untuk kenangan. Bila aku nak bergambar sama, boleh dia suruh aku pergi sebab dia nak bergambar solo ...... huhu


Semasa nak ke asrama puteri, kami nampak krew Juvana dan pelakon2nya sedang shooting di situ. Pandai mereka cari lokasi. IKBN pun boleh kelihatan mcm sekolah juvana. Dalam filem Juvana yang baru disiarkan di panggung, kem PLKN jadi tempat shooting mereka.

Dalam perjalanan balik dari KKB kami singgah di masjid Batang Kali untuk solat asar.




Inilah kali pertama kami solat di situ. Masa kami nak sembahyang tu tok siak siap pasangkan air cond w/pun masa itu dalam pukul 6 ptg.



Sebelum masuk ke masjid aku mencari tempat parking. Ada beberapa kereta yang singgah solat di situ. Aku nampak ada parking dekat dengan tempat letak van jenazah.

Tiba-tiba Adam bersuara, "Kenapa ayah parking dekat van ustaz ni?"
Kami yg mendengar kata2nya terkedu kerana dia menggunakan istilah van ustaz untuk van jenazah tu. 


"Ha'ahlah kenapa abang nak parking dekat tempat ni? Kan banyak tempat parking lain," kata emak Adam.

"Kenapa Adam panggil van tu van ustaz?" tanya emaknya.

Adam cuma berdiam saja kerana mungkin dia hairan kenapa kami hairan dia panggil van itu van ustaz (what the big deal).

"Oh pasal ada tulisan ayat Al-Quran tu ya?" tanya emak Adam cuba mendapatkan kepastian.

Thursday, February 14, 2013

Betullah 9/10 Pintu Rezeki Di Dalam Perniagaan

Sejak anak aku Atikah memulakan perniagaan menjual kain kapas melalui internet di bawah nama Sweet Little Cotton kira-kira 7-8 bulan yang lalu, rezekinya semakin murah. Jika semasa permulaan dulu dia mengambil kain daripada pembekal sekali atau dua kali dalam seminggu kini dia berulang alik mengambil kain yg dipesan hampir setiap hari. Ini adalah kerana pesanan yang diterimanya semakin banyak. 

Pada cuti perayaan Tahun Baru Cina inipun pelanggan-pelanggannya tetap membuat tempahan. Bila hp nya berbunyi ting ting tanda notifikcation dia akan kata 'kain kain' kerana biasanya itu adalah pesanan yg diterima daripada pelanggan melalui facebooknya.

Ini antara design terkini yang ditawarkan




Hasil daripada jualan kain ini bolehlah Atikah menyimpan untuk perbelanjaan pelajarannya. Dia tak ambil pinjaman PTPTN kerana kadar cas yang dikenakan oleh PTPTN adalah lebih tinggi untuk kursus professional seperti ACCA ini.

Semalam selepas pergi mengambil kain dan menghantar sebahagian daripada tempahannya melalui khidmat Poslaju, Atikah telah belanja kami sekeluarga makan malam di Restoran De Templer.





Antara makanan yang diorder:

Udang mancis cili kering

Sambal udang dengan petai

Baby kailan ikan masin


Sotong telur masin

Butter prawn

Steam bean curd soya

Cendawan campur

Mood nak tayang gambar makanan berkobar-kobar hari ni sebab kali pertama Atikah belanja makan besar.



Ada bertambah yakin bahawa 9/10 pintu rezeki adalah di dalam perniagaan seperti yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w itu. Kalau masa aku kerja makan gaji dulu boleh tahan pendapatan aku, aku harap bila dah berniaga ini pendapatan aku 9 kali ganda. In sya Allah.


Tuesday, February 12, 2013

Ayam Percik Yati

Mula-mula aku dikenalkan dgn Ayam Percik Yati 2 di Kota Baru ialah pada tahun 1996. Masa itu aku baru mula kerja sebagai jurutera roboh dan bina semula atau dalam bahasa Inggerisnya Knockdown and Rebuild Engineer di syarikat kulit kerang.

Pada masa itu aku diarahkan oleh bos aku ke Kota Baru untuk melawat projek pembesaran sebuah stesen minyak di Jalan Pengkalan Chepa. Kami tak roboh terus stesen tu tapi membuat renovation. Bila aku sampai di airport kontraktor dan jurutera projek telah menanti aku. Aku terus dibawa ke tapak projek yang terletak tak berapa jauh dari lapangan terbang itu. 

Selesai kerja di situ aku dibawa pergi makan tengahari oleh kontraktor ke sebuah restoran ayam percik di Jalan Long Yunus. Nama restoran tu Yati No 2. Bila aku tanya Yati No 1 kat mana kontraktor aku kata kat tengah bandar. (tapi sampai ke hari ni aku tak pernah jumpa Yati No 1 tu .... huhuhu).

Aku rasa sedap makan nasi kerabu berlaukkan ayam percik tengahari itu. Selain ayam percik ada lagi aksesori lain yang aku tak pandai makan masa itu. Aku tengok orang2 tempatan makan tak toleh kiri kanan dah.

Selepas makan aku ke ofis sykt kulit kerang di Jalan Minyak Gas sementara nak tunggu penerbangan balik ke KL. Habis kerja di situ kontraktor datang nak hantar aku ke airport. Dia tanya kalau aku nak bawa balik ayam percik boleh ditolong singgahkan aku di restoran Yati. Aku tanya boleh bungkus ke? (soalan entah apa2). Dia kata, "of course."

Maka kami singgah di situ dan beli ayam percik yang potongan besar dan yang kecik. Belum sempat aku nak bayar, dia dah settle dulu. Biasalah kontraktor nak ambil hati pelanggan.

Sejak daripada itu bila aku atau keluarga aku ke KB kami sering makan di restoran Yati ayam percik. Kali terakhir kami sekeluarga ke situ ialah pada cuti Tahun Baru Cina dua tahun lepas. W/pun ada tempat makan yg lain tapi kami tetap nak ke situ.  Macam dah kena mandrem hehehe


Sekarang ni Yati sudah membuka beberapa cawangan di sekitar Lembah Klang. Ada di Kajang, Bangi dan Tasik Permaisuri. Semalam kami ke Seksyen 7 Shah Alam utk ke Jakel. Tapi sebelum itu kami singgah di Yati Ayam Percik yang baru dibuka di situ. Baru pun tak lah baru sangat. Dah dibuka sejak Disember lepas.



Ini gambar pelanggan2 yg makan di situ yang aku ambil dari fb Yati. Cuba perhatikan keluarga yg di sebelah bawah tu.

Dah ada restoran ini dekat sini senanglah kalau kami nak makan ayam percik Yati.





Saturday, February 9, 2013

Sambutan Tahun Baru Cina di Piasau Garden

Selepas aku berkahwin dengan emak Adam, aku menyewa sebuah banglo satu tingkat di Piasau Garden, Miri. Penduduk di taman itu terdiri daripada pelbagai bangsa: Cina, Iban, Bidayuh, Melanau/Melayu Sarawak dan beberapa keluarga Melayu dari Semenanjung. Tapi majoriti adalah orang Cina.

Tinggallah aku dengan emak Adam dengan aman damai sehingga kami mendapat anak pertama. Jiran sebelah kiri kami adalah sahabat baik aku yang berasal dari Teluk Intan. Isterinya orang Batu Pahat. Kedua2nya aku kenali sejak kami belajar di USA. Tamat belajar kebetulan ketiga2 kami kerja dgn syarikat kulit kerang.

Jiran sebelah kanan kami Cina Sarawak. Mereka ini baik hati. Selalu memberi kami makanan w/pun kembang tekak kami nak makan. Bila Tahun Baru Cina isterinya nak bagi itik salai kepada isteri aku. Emak Adam menolak dgn baik sebab tak nak terbuang begitu saja kalau kami terima permberian itu.

"Ini itik banyak sedap ooo. Apasal lu tak mau makan?" kata nyonya sebelah tu.

"Saya tahu ini itik sedap. Tapi kami orang Islam tak boleh makan kalau tak sembelih," jelas emak Adam.

"Oh itu pagi-pagi Aaahhh tak kasi makankah?" balasnya.

Emak Adam dapat menangkap maksud nyonya tu pagi-pagi Aaaahhh tu bunyi azan dari surau tak jauh dari rumah kami. Maknanya Allah tak kasi makan. Oh faham juga Cina ini.


Bila tiba masa perayaan Tahun Baru Cina banyaklah kumpulan tarian singa masuk ke taman kami ini. Mereka akan membuat persembahan di depan rumah orang2 Cina di situ. Biasanya rumah Cina ada pasang tanglung. Jadi senanglah kumpulan tarian singa itu mengenal pasti rumah mana yang nak dituju utk membuat persembahan mereka. Pada penghujung persembahan itu singa akan memanjat tiang utk mengambil angpow yg disediakan oleh tuan rumah.

Pada kali pertama sambutan TBC tu ada satu kumpulan tarian singa telah membuat persembahan di depan rumah kami. Mereka ingat rumah kami tu rumah orang Cina. Bila mendengar riuh rendah dung dung ceng depan rumah aku tu, aku pun keluar dan memberitahu ketua kumpulan itu kami ini orang Melayu. Dia yang pada mulanya agak terkejut kerana menyangka rumah kami ini rumah org bukan Melayu telah mengarahkan anak2 buah berhentikan persembahan. Mungkin anak2 buahnya berkata dalam hati masing2 "Buang karan aje!" .... hahaha

Bila aku masuk semula ke dalam rumah, emak Adam bertanya kepada aku macamana mereka boleh tersilap rumah. Aku beritahu dia yang rumah kami tiada lampu warna warni di sekeliling rumah. Rata-rata semua rumah orang-orang Melayu/Islam di Miri ada lampu warna warni itu utk menandakan itu rumah Melayu. Tuanrumah kami itu orang Cina. Jadi dia tak pasang lampu warna warni itu dan kami selaku penyewa tak kuasa nak memasangnya.... huhuhu

Lain kali kalau korang ke Sarawak cuba perhatikan rumah2 di sana. Rumah2 Melayu biasanya akan ada lampu warna warni tu.



Nota kaki: rumah aku sekarang di KL ini pun ada dipasang lampu warna warni. Tapi dari jenis LED untuk mengikut perkembangan semasa ...... hehehe


Friday, February 8, 2013

Unipertama

Masa aku sekolah dulu aku sering berangan-angan nak masuk universiti. Rasa mcm seronok aje dapat jadi mahasiswa. Itu belum lagi dapat berkawan dgn mahasiswi - ala berkapel kata org sekarang hahaha

Semasa aku di Tingkatan 1 pihak sekolah aku menganjurkan lawatan ke Universiti Pertanian Malaysia, Serdang (skrg dikenali dgn nama Universiti Putra Malaysia). Tujuan lawatan itu untuk memberi pendedahan kepada pelajar2 prospek di dalam bidang agrikultur kerana sekolah kami ada mata pelajaran Sains Agrikultur utk pelajar Tingkatan 1 -3. Aku pun tak tahu apa sebab sekolah di tengah-tengah KL ambil mata pelajaran tersebut.

Cikgu yang mengajar kami subjek itu bernama Mrs Lee. Baru keluar daripada universiti dan comel orangnya. Tapi bila mengajar aku boleh agak dia budak bandar macam aku juga dan tak berapa tahu selok belok pertanian. Pernah dia memberitahu kami kalau nak tebang pisang untuk mengambil buahnya, tebanglah dipangkal pokok lebih kurang sekaki dari tanah. Aku beritahu dia hancurlah buah pisang tu bila terhempap dek batang tapi dia boleh cakap batang pisang itu tak berat mana dan takkan merosakkan buah.

Pada hari lawatan itu kami dibawa ke fakulti sains samudera di UPM. Itulah kali pertama aku menjejakkan kaki ke menara gading. Aku berazam masa itu selepas MCE (aku ambil peperiksaan dgn penghantar Bahasa Inggeris bersama batch aku) aku nak masuk universiti. Kami diberi penerangan tentang industri perikanan oleh salah seorang pengajar di situ. Aku tak pasti dia tu professor ke bukan.

Itu semua kenangan berpuluh tahun silam.

Awal minggu ini aku dan beberapa orang rakan telah ke UPM. Kami berjumpa dengan seorang Fellow di situ untuk satu perbincangan. Bila bercakap dengan cediakawan seperti beliau ini, perbincangan menjadi ilmiah. Banyak ilmu beliau dan beliau tidak locek berkongsi pandangan tentang pelbagai isu dan perkara termasuklah isu-isu semasa. Pendapat beliau sering dikaitkan sama dgn hasil kaji selidik yg dijalankan oleh para ilmuan lain. Aku terasa pengetahuan aku di dalam banyak hal agak cetek jika dibandingkan dgn beliau..... huhu.



Perpustakaan UPM

Beliau ada memberitahu bahawa kerajaan menggalakkan rakyat mengambil PhD untuk memastikan Malaysia dapat bersaing dengan negara maju yang lain. Beliau memberi contoh Korea Selatan di mana ramai rakyat mereka mempunyai PhD. Sekarang Korea dapat menghasil produk2 berkualiti dan mempunyai syarikat gergasi dunia seperti Samsung dan Hyundai. 

Beliau memberitahu kerajaan ada menyediakan geran sebanyak RM50K bagi yg layak untuk perbelanjaan mengambil PhD. Bagi mereka yang mempunyai pekerjaan atau bisnes mereka boleh mengambil PhD di dalam bidang industri mereka. Bagi yang layak, pengalaman mereka boleh digunapakai untuk menggantikan Master. Tempoh pengajian adalah di antara 3 - 7 tahun. Ada di antara kami pada pertemuan tersebut berkira-kira mahu mengambil peluang ini. Aku? naa I am too old for that .... hehehe

Selain daripada menambah ilmu dengan mengambil PhD, kami juga boleh berkongsi pengetahuan yang kami miliki dengan memberi kuliah kepada pelajar2 universiti di dalam bidang kepakaran kami. Sesiapa yg berminat dan berkelayakan bayaran yang diberi ialah RM500 sejam. Kalau seminggu cuma dapat sumbangkan sejam pun, sebulan dah dapat RM2,000. Bagi aku wang itu perkara kedua. Yang penting dapat berkongsi ilmu pengetahuan dgn anak bangsa. Cari bayaran di akhirat.

Thursday, February 7, 2013

Bila Dah Ada Passport Ni Nak Kemana Pula?

Semalam aku, emak Adam, Adam dan kakak-kakaknya pergi ambil gambar.


Adam sedang diambil gambarnya. 5-6 kali ambil baru jadi sebab mata dia dok jeling sana jeling sini


Untuk 5 orang kena RM72. Seorang 12 keping. Kalau nak guna utk tujuan lain senang tak payah nak cuci2 lagi. 

Kalau dulu mungkin dah hantar gambar tu ke ruangan Kembang Setaman. Itu antara laman sosial paling hot masa itu. Maklumlah dulu mana ada laman2 sosial mcm sekarang. Lepas hantar gambar dan biodata termasuk hobi, belilah majalah tu yg keluar sebulan dua kali dgn harapan nama kita tersiar! Oh ya hobi yg mesti disebut ialah membaca (biar nampak terpelajar sikit hahaha), melancong (nak cari kawan2 dari jauh dah dekat) dan berkenalan (maksudnya kalau orang hantar surat kita akan balas kerana kita suka berkenalan).

Eh dah ke laut pula aku ni.

Tujuan kami ambil gambar semalam tu nak buat passport. Pagi ni masa kami bersarapan, Hazwan kata kalau buat passport tu nak kemana pulak?

Emak Adam kata, "Tak tahu nak ke mana lagi tapi kan senang kalau dah ada passport."

Ini yang risau aku ni. Macam bagi open cheque .... huhu

Wednesday, February 6, 2013

Beli Ikanpun Minta Disiang

Orang sekarang dah bagi senang nak senang lagi. Contohnya kalau dulu beli ikan lepas pilih2, timbang dan bayar. Tapi sekarang lepas timbang nak suruh penjual tu siang ikan tu. Kebanyakan orang memilih khidmat tambahan ini yang biasanya free kerana bila balik dah tak perlu bersusah payah nak menyiang ikan tersebut. Lagipun tak perlu nak buang perut ikan yang biasanya akan mengundang lalat ke tong sampah kalau kita terlepas lori sampah.

Di pasar tani dekat rumah kami ada satu gerai menjual ikan yang sangat laris. Setiap pagi Rabu orang akan datang awal untuk memilih ikan, udang, sotong dan ketam yang segar2 dgn harga yg berpatutan. Ikan2 ini datangnya dari Sg Besar.

Pagi tadi selepas Haikal dan Haizam pergi sekolah, emak Adam mengajak aku ke pasar tani untuk membeli ikan. Sampai ke pasar tani dalam pukul 7 pagi  - gelap lagi sebab matahari naik pukul 7:30 pagi.




Para pembeli yang kebanyakannya surirumah rancak memilih ikan. Perhatikan bakul-bakul kecil yang berderet di sebelah kanan yang berbaris menunggu giliran utk ditimbang sebelum ikan2 itu disiang.



Hari ini emak Adam memilih 4 ekor ikan tenggiri papan yg bersaiz kecik dan 8 ekor ketam. Selepas dia dah pilih aku suruh dia pergi beli sarapan di pasar tani sementara aku menunggu giliran ikan dan ketam itu ditimbang.

Lama juga nak tunggu giliran tu. Bila dah timbang mamat penjual tu nak hantar ikan dan ketam tu ke belakang utk disiang.

Emak Adam yg kebetulan dah sampai ke situ beritahu penjual tu, "Tak payah siang sebab dah siang."

Kami pun balik sebab nak hantar Adam ke tadika pula.

Tuesday, February 5, 2013

Biarku Patahkan Lehernya

Emak aku dulu ajar kalau nak tahu sama ada bendi itu muda atau tua cuba patahkan lehernya. Kalau boleh patah dgn senang itu tandanya bendi muda. Sedap dibuat sayur atau direbus dan cicah sambal. Kalau tak boleh dipatahkan, itu tandanya bendi itu dah tua. Jangan dibeli. Buang duit aje.

Tadi semasa aku temankan emak Adam ke pasaraya NSK aku pun dengan gigihnya terus ke tempat bendi. Aku tengok bendinya gemuk2 kali ni. Nampak mcm muda. Tapi bila aku jalankan ujikaji aku seperti yg emak aku ajarkan itu, ternyata banyak yang tua. Patutlah tak ramai orang membelinya. Kalau tidak, tak sempat nak tuang dari bakul orang dah berebut.  Macam percuma sedang sekilo bendi tu RM6.99




Bendi ini jenis yang tak nak lehernya dipatahkan oleh pelanggan sebab ianya bengkok di hujung .... hehehe


Kerana kebanyakannya agak tua, aku nak pilih utk dapatkan sekilo pun payah. Tapi tiba2 datang seorang bibik ambil plastik dan kata, "aduh cantek-cantek bendi ni."

Dia keruk2 penuh satu plastik termasuk bendi yang aku dah reject. Niaya tuannya malam ni bila mendapati bendinya tua2.

Monday, February 4, 2013

Sambutan Berganda

Petang semalam kami ke Publika di Sri Hartamas untuk membeli kek harijadi di salah sebuah kedai kek di sana. Kali pertama aku dan emak Adam sampai ke tempat tu. Dulu masa aku kerja dgn sykt kulit kerang tempat ni belum ada.

Budak2 sekarang setakat Secret Recipe atau King's tak mainlah. Nak yang kelas gitu. Atikah order red velvet. Sebiji RM75. Setahun sekali utk sambutan besday oklah.

Malam tadi kami bawa kek itu ke Pizza Hut untuk dipersembahkan secara mengejut kpd Afifah yg menyambut harilahirnya pada 2hb Feb. Sebenarnya utk emak Adam juga sebab harijadinya pada 4hb Feb. Beza 2 hari saja anak beranak ni.



Kami makan pizza dulu sebelum kakitangan pizzahut tu bawa kek ke meja kami sambil menyanyikan lagu Happy Birthday




Birthday girl bersama emaknya. Adam tukang enterframe


Aku bayar sebahagian daripada bil itu menggunakan baucer yang aku dapat hujung tahun lepas. Selebihnya guna kad kredit aku ..... ngeeee

Kepada anak aku Nurafifah Huda dan isteri aku Siti Roslina selamat menyambut harilahir.  Semoga menjadi insan cemerlang, solehah dan diberkati Allah dunia dan akhirat.

Saturday, February 2, 2013

Maaf - Hari Ini Takde Update

Dari semalam ingat nak update kisah2 yg berlaku sepanjang hari semalam. Tapi bila dah kenyang kena lontong dan lopes mood terus hilang. Lagipun kejap lagi nak pergi majlis kahwin di rumah dua pupu aku di Kg Bakar Baginda.




Aku nak berkelana hari ni. Dah ada PJK bukan sebab dapat sempena Hari Wilayah tapi sebab makan tak berhenti-henti ..... huhuhu

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails