Thursday, September 11, 2008

KELAHIRAN YANG TERISTIMEWA

Tarikh: 5hb Ramadan 1429H bersamaan 5hb Sept 2008
Hari: Jumaat
Masa: 11:53 pagi
Tempat: LDR5 Gleneagles Intan Medical Centre, Jalan Ampang, KL

Setelah hampir 3 hari isteri saya mengalami 'contraction' maka pada tarikh, masa dan tempat seperti di atas, lahirlah seorang bayi lelaki seberat 2.85 kg. Dengan penuh rasa rendah diri, setinggi-tinggi syukur ku panjatkan kehadrat Illahi. Bayi comel ini merupakan anak kepada kami yang ke-6. [Bertambah lagi seorang hero dalam keluarga kami :)] Lahirnya, caught many by surprise kerana tidak ramai yang menyedari isteri mengandung.

Setelah bersidangnya Majlis Musyawarah selama beberapa hari, akhirnya kami sepakat menamakan bayi ini dengan nama Muhammad Adam Hakimi. Dia telah dilahirkan secara normal.

Walaubagaimanapun, sejam selapas bersalin, isteri telah mengalami komplikasi dan telah kehilangan terlalu banyak darah. Keadaan sangat genting! Tambahan pula, saya sedang menunaikan fardhu Jumaat pada ketika itu. Datuk Doktor Abd. Aziz Yahya dan pasukan beliau terpaksa bertungkus-lumus menjalankan pembedahan untuk menghentikan pendarahan itu demi menyelamatkan nyawa isteri. Alhamdulillah, dengan Keagungan serta Kebesaran Illahi, isteri berjaya diselamatkan. Syabas juga diucapkan kepada Datuk Doktor Abd Aziz Yahya & pasukan beliau atas ketangkasan serta kebijaksanaan mereka menangani situasi disaat yang penuh getir itu! Harapan dan juga doa saya kini agar isteri tersayang akan cepat kembali sembuh sepenuhnya lanjutan daripada kesan pembedahan yang dilaluinya.

Sesungguhnya, kelahiran Muhammad Adam Hakimi merupakan satu kelahiran yang teristimewa.



Thursday, September 4, 2008

Wisma Perwira - Penghargaan Kepada Sumbangan Para Perwira Negara


Hari ini, 4hb Sep 2008, merupakan hari yang sangat bersejarah kerana pada hari ini telah diadakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Wisma Perwira Kementah yang telah disempurnakan oleh YAB Dato Sri Najib Tun Hj Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pertahanan.

Bangunan asal Wisma Perwira telah dibina oleh tentera British pada tahun 1946. Di sinilah ramai pegawai tentera pernah berkumpul dan mengenali antara satu sama lain. Kewujudan premis ini juga telah membolehkan para perwira bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pengalaman dalam melaksanakan tugasan di pejabat mahupun di perbatasan.



Hari ini Wisma Perwira memasuki satu fasa baru, apabila sebuah kompleks yang baru akan mula dibina. Kompleks yang bertaraf sebuah hotel dan mempunyai pelbagai kemudahan moden ini sudah tentu akan memberi keselesaan kepada para pegawai ATM yang menjadi ahli wisma ini.

Untuk lebih kurang dua tahun dari sekarang, tanggungjawab untuk memastikan projek sebesar ini menjadi realiti terletak di bahuku selaku Pengurus Kanan Projek. Mengulangi doa pagi ini yang dibacakan oleh seorang Lt. Kol daripada KAGAT semasa majlis pelancaran:

"Ya Allah, berilah kekuatan kepada jentera pelaksana projek ini untuk menyiapkan projek ini di dalam masa yang ditetapkan. Jadikanlah ianya sumbangan kami yang akan memberatkan timbangan mizan kami di Akhirat kelak."

Saya berharap penglibatkan saya dan teman-teman di dalam projek ini menzahirkan penghargaan kami kepada para perwira sekalian. Yang paling penting semoga Allah menerimanya sebagai amal kami dan diberi pahala, insyaAllah.

Selamat Menyambut Ramadan


Assalamualaikum kpd pembaca semua,
Terima kasih kerana masih sudi menjenguk ke lawan blog saya ini walaupun setelah sekian lama tidak dikemaskinikan.

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam dan semoga kita diberi kekuatan oleh Allah untuk menlaksanakan tanggung jawab kita. Di samping itu, marilah kita memperbanyakkan amal kita kerana seperti yang kita semua maklum, pahala amalan di bulan ini akan digandakan berlipat-lipat kali jika dibandingkan dengan amalan pada bulan-bulan lain. Semoga ia akan memberatkan timbangan kebaikan kita di Akhirat kelak.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails